Friday 3 April 2015

Keputihan..normal atau tidak normal?

Apakah itu penyakit keputihan?
Masalah keputihan atau lelehan lendir berwarna putih, krim atau kelabu yang keluar daripada faraj wanita merupakan suatu masalah yang sering dihadapi oleh kebanyakan wanita di seluruh dunia. Statistik menunjukkan hampir 75% wanita yang sudah berkahwin berhadapan dengan masalah keputihan berikutan oleh aktiviti seksual. Ramai wanita tidak mempunyai kesedaran terhadap risiko dan bahaya penyakit keputihan malah menganggap ia sebagai suatu petanda lazim sebelum kitar haid. Setiap wanita perlu mempunyai pengetahuan asas yang mampu membezakan pengeluaran lelehan lendir faraj secara semula jadi dengan penyakit keputihan yang serius yang memerlukan rawatan perubatan
Jenis-Jenis Keputihan
Keputihan terbahagi kepada dua jenis, iaitu keputihan fisiologis dan keputihan patologik. Keputihan yang bersifat fisiologis biasanya normal dan tidak menunjukan gejala penyakit. Keputihan jenis ini sering berlaku semasa seseorang wanita mengalami kesuburan dan sebelum menstruasi (kitar haid). Lelehen lendir yang normal selalunya berwarna putih atau krim, tidak berbau serta tidak menyebabkan gatal pada bahagian faraj. Lendir yang dikeluarkan adalah sedikit dan berbentuk cecair. Keputihan patologik bersifat lebih kronik dan menunjukan tanda-tanda penyakit seperti mengeluarkan lendir yang kental, berwarna kuning, kelabu atau hijau, berbau busuk dan menyebabkan kegatalan pada bahagian faraj. Keputihan fisiologis merupakan petanda yang sangat normal di mana hampir setiap wanita melalui keadaan ini. Sebaliknya, keputihan patologis disebabkan oleh jangkitan kuman (bakteria dan/atau kulat) perlu dirawati. Jadual 1.0 menunjukan perbezaan di antara kedua-kedua jenis keputihan.
Sifat
Keputihan Fisiologis
Keputihan Patologis
BentukLendir yang cair dan tidak melekatLendir yang kental dan melekat
WarnaBerwarna putih atau krimBerwarna kuning atau kelabu atau hijau
BauTiada bauBerbau busuk
Jumlah yang dikeluarkanSedikitBanyak
KekerapanSemasa subur dan sebelum haidApabila berlaku jangkitan pada bahagian faraj
Petanda lainTidak gatalGatal dan faraj kelihatan kemerahan dan mengalami radang
RawatanTidak perluPerlu rawatan yang segera
Jadual 1.0 Ciri-ciri Perbezaan Keputihan Fisiologis dan Patologis
Gambar rajah 1.0
Faraj kelihatan merah dan mengalami radang
Gambar rajah 2.0
Lendir yang kental dan melekit
Gambarajah 1.0 dan 2.0 menunjukkan faraj wanita yang telah dijangkiti oleh kuman dan mengeluarkan lelehan yang tidak normal.
Apakah faktor-faktor yang menyumbang kepada Penyakit Keputihan?
  1. Faktor Kebersihan
    Kebersihan di bahagian sulit wanita (faraj) perlu dijaga dengan baik agar jangkitan tidak berlaku.
    Wanita sentiasa digalakan untuk mencuci bahagian sulit dengan air bersih dan memastikan ia kering selepas membuang air kecil dan selepas aktiviti seksual. Kelembapan pada bahagian faraj akan menggalakkan pertumbuhan dan jangkitan mikroorganisma seperti kulat dan bakteria.
  2. Faktor Hormon
    Gangguan keseimbangan hormon dalam tubuh boleh juga boleh menyebabkan seseorang wanita menghadapi penyakit kuputihan. Ketidakseimbangan hormon dalam darah disebabkan oleh beberapa perkara yang tersenarai di bawah:
    • Perembesan hormon estrogen iaitu hormon pembiakan pada wanita hamil membolehkan kulat lebih mudah melekat pada dinding faraj.
    • Pengambilan ubat, khasnya antibiotik yang berlebihan untuk jangka masa yang panjang menyebabkan bakteria semula jadi pada bahagian faraj mati dan ini secara tidak langsung menyumbang kepada pertumbuhan microorganisma patogen seperti bakteria atau kulat.
    • Wanita yang mengalami tekanan akibat daripada masalah peribadi atau gangguan emosi yang lain akan mempengaruhi aktiviti normal otak dalam mengkordinasikan penghasilan hormon yang seimbang.
    • Pengambilan pil perancang keluarga atau pil pencegah kehamilan turut menyumbang kepada ketidakseimbangan hormon dalam darah
  3. Faktor Gaya Hidup
    Gaya hidup seseorang wanita sangat mempengaruhi status kesihatan beliau. Wanita yang aktif dalam aktiviti seksual yang tidak sihat, misalnya melakukan aktiviti seks rambang dengan lebih daripada seorang pasangan lebih cenderung untuk mendapat pelbagai jangkitan pada bahagian faraj.
  4. Faktor Kesihatan
    Wanita yang menghadapi penyakit kencing manis, lebih mudah mendapat penyakit keputihan disebabkan oleh kandungan gula yang tinggi dalam rembesan faraj yang membolehkan pertumbuhan kulat yang banyak dan berkembang biak di bahagian faraj. Selain itu wanita yang mempunyai system daya tahan badan yang rendah atau terjejas seperti pesakit AIDS,atau barah, atau leukimia juga berhadapan dengan risiko yang tinggi untuk mendapat jangkitan faraj.
Hubungan Mikroorganisma Dengan Penyakit Keputihan
Terdapat pelbagai bakteria pada bahagian faraj wanita yang dikenali sebagai bakteria semula jadi. Antara bakteria semula jadi yang sangat berguna pada bahagian faraj dikenali sebagai Lactobacillus. Lactobacillus merupakan sumber utama asid lactic yang mengekalkan PH bahagian faraj antara 3.5 hingga 4.6 iaitu dalam persekitaran keasidan. Keadaan berasid ini mampu melindungi faraj daripada jangkitan kuman.
Jangkitan kuman akan berlaku apabila fungsi bakteria semula jadi diganggu oleh faktor luaran, misalnya penggunaan produk pencuci bahagian intim yang tidak sesuai boleh mengubah persekitan yang berasid seterusnya membunuh normal flora yang sedia ada. Keadaan ini mendorong kepada pertumbuhan organism komensal yang lain secara berlebihan sehingga berlaku jangkitan.
Penyakit keputihan adalah berpunca daripada jangkitan kuman terutamanya oleh Gardnerella vaginalis, Trichomonas vaginalis dan Candida albicans. Punca jangkitan dan ciri-ciri klinikal untuk setiap agen adalah seperti dalam Jadual 2.0
Agen Penyebab
Jenis Kuman (Mikro
organisma)
Ciri-ciri klinikal
Punca Jangkitan
Gardnerella vaginalisBakteria
  • Lelehan berwarna putih-kekelabuan dan sedikit berbuih
  • Berbau busuk (fish odor)
  • Sedikit rasa gatal atau kerengsaan
  • Hubungan seks rambang
  • Tabiat merokok dan
  • Penggunaan alat kontraseptif Intra uterine devices
Trichomonas vaginalisParasit
  • Lelehan faraj yang bernanah
  • Berwarna kuning
  • Berbuih dan berbau hanyir
  • Kerengsaan pada faraj
  • Rasa sakit semasa hubungan seks
  • Rasa sakit semasa buang air kecil
  • Hubungan seks yang tidak sihat
Candida albicans / sppKulat
  • Lelehan kental dan berwarna putih
  • Berbau busuk (foul odor)
  • Gatal
  • Dinding faraj kelihatan merah dan bengkak
  • Sakit semasa hubungan seksual
  • Sakit semasa buang air kecil
  • Penggunaan antibiotik yang banyak
  • Kehamilan
  • Penyakit kencing manis yang tidak terkawal
  • Sistem pertahanan badan yang lemah disebabkan oleh HIV/AIDS, kanser atau dalam rawatan kanser
  • Pengguna pil perancang keluarga
Jadual 2.0 Agen Penyebab Penyakit Keputihan
Gambar rajah 3.0 menunjukkan jangkitan kulat pada bahagian faraj yang dikenali sebagai Candida albicans
Bahaya Penyakit Keputihan
Penyakit keputihan yang tidak dirawat akan mengundang kepada pelbagai komplikasi yang merbahaya. Penyakit keputihan yang lewat ditangani, bukan sahaja berpotensi untuk menyebabkan kemandulan dan kehamilan di luar rahim, tetapi boleh menyebabkan penyakit kanser rahim yang boleh membawa kematian. Penyakit keputihan yang tidak diambil perhatian pada jangka masa yang lama lebih sukar untuk diberikan rawatan. Ini adalah hasil daripada penambahan sifat kerintangan bakteria atau kulat terhadap antibiotik atau antifungal.
Masalah penyakit keputihan yang kronik adalah berikutan dari jangkitan yang berlaku pada faraj menular ke bahagian rongga rahim (uterus) dan kemudian ke saluran pengeluaran telur (Fallopian tiub). Jangkitan kronik ini boleh menyebabkan kandungan terbentuk di luar rahim dan pendarahan yang boleh mengakibatkan kematian ibu dan bayi.
Wanita yang mempunyai system daya tahan badan yang rendah, penyakit keputihan yang dianggap biasa boleh menjadi serius dan mengancam nyawa. Jangkitan yang bermula pada bahagian faraj boleh menyebabkan infeksi sekunder di mana kuman tersebut boleh memasuki saluran darah akibat aktiviti menggaru yang menghasilkn pembentukan luka. Gejala ini dikenali sebagai kandidiasis invasif yang sangat merbahaya dan memerlukan rawatan rapi.
Cara mencegah Penyakit Keputihan
Mencegah adalah sentiasa lebih baik daripada mengubati. Pengetahuan dan kesedaran mengenai cara-cara menghindari penyakit keputihan adalah sangat penting kepada kaum wanita agar gaya hidup yang sihat dan selamat dapat diamalkan. Sebagai langkah pencegahan daripada penyakit keputihan, berikut adalah amalan-amalan yang disarankan kepada semua wanita:
  • Sentiasa memastikan bahagian faraj berada dalam keadaan bersih dan kering.
  • Elakkan penggunaan pembersih faraj yang menganggu kestabilan PH atau menyebabkan kegatalan.
  • Sentiasa menukar atau mengganti tuala wanita semasa menstruasi (haid).
  • Gunakan pelapik seluar dalam (panty liner) pada saat yang diperlukan sahaja. Elakkan juga pemakaian seluar dalam yang ketat dan diperbuat daripada kain satin.
  • Jangan menggunakan sebarang produk wangian seperti bedak atau ubat sembur pada bahagian faraj.
  • Elakkan pengambilan ubat secara berterusan tanpa nasihat doktor.
  • Kurangkan pengambilan makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi.
  • Amalkan gaya hidup sihat dengan mengelakkan aktiviti seks rambang atau hubungan kelamin dengan lebih daripada seorang.
  • Elakkan kehadiran benda asing di dalam faraj seperti kondom yang tertinggal selepas aktiviti seks.
  • Basuh bahagian sulit dengan air yang bersih dan buang air kecil selepas aktiviti seks.
  • Berjumpa dengan pegawai perubatan dengan segera dan melakukan pemeriksaan vagina jika terdapat sebarang tanda-tanda yang dinyatakan di atas.
  • Melakukan apa-apa aktiviti yang menenangkan fikiran dan mengurangkan tekanan seperti melancong.
Kesimpulan
Penyakit keputihan merupakan suatu masalah klasik yang dialami oleh semua wanita. Namun, gejala dan komplikasi penyakit tersebut adalah berbeza mengikut individu dan tahap kesihatan masing-masing. Jenis keputihan fisiologis yang kerap terjadi pada wanita yang sihat merupakan gejala yang normal dan akan pulih secara semula jadi. Sebaliknya, keputihan patologik dikategorikan sebagai penyakit yang lebih rumit dan perlu rawatan segera. Gejala keputihan patologik disebabkan oleh pelbagai faktor luaran dan dalaman yang meliputi isu-isu kebersihan diri, kestabilan hormon dalam darah, faktor kesihatan dan gaya hidup yang sihat.
Mikroorgamisma, sama ada bakteria atau kulat merupakan agen utama yang terlibat dalam jangkitan faraj. Ciri-ciri klinikal pada setiap pesakit adalah berbeza-beza mengikut jenis kuman yang menyebabkan jangkitan. Namun seakiranya dipandang remeh, semua jangkitan berpotensi untuk menjadi lebih kronik seperti kanser rahim. Wanita yang hamil mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit keputihan disebabkan oleh rembesan hormon pembiakan yang tinggi dalam badan.
Kebanyakan wanita tidak mempunyai kesedaran sewajarnya terhadap penyakit keputihan kerana menganggap ia sebagai suatu fenomena biasa dalam kehidupan seharian. Ramai wanita yang menyesal kemudian apabila berlakunya insiden yang tidak diingini akibat daripada jangkitan tersebut. Adalah penting kepada kaum wanita untuk sentiasa mengamalkan cara hidup yang sihat dan bebas daripada jangkitan faraj demi kehidupan yang bahagia.

Antara suplemen yang boleh di ambil bagi mengurangkan masalah ini adah seperti:
GLA - berkesan sebagai bahan anti kulat
Alfalfa - juga berkesan sebagai bahan anti kulat
B complex - kekurangan vitamin B boleh menyebabkan infeksi vagina
Garlic Complex - sebagai antibiotik semulajadi dan membantu membunuh kulat.
Kredit: www.myhealth.gov.my
Rujukan
  1. https://www.google.com.my/search?q=penyakit+keputihan+wanita&tbm=isch&tbo=u&source=univ&sa=X&ei=5ADDUerYBILprAffnIHoDA&ved=0CCkQsAQ&biw=1024&bih=624
  2. Penyebab Keputihan Pada Wanita http://bidanku.com/index.php?/keputihan-pada-wanita-jenis-penyebab-dan-penvegahan#ixzz2VzknY1Zm
  3. https://www.nlm.nih.gov/medlineplus/ency/article/001511.htm
  4. https://www.cdc.gov/nczved/divisions/dfbmd/diseases/candidiasis
  5. Arnold E., 1995. Gynaecology by Ten Teachers. ed. Chamberlain G., pp 80-83. Great Britain.: The Educational Low-Priced Books Scheme.
  6. Mandell G.L., Dolin R., Bennett J.E. 2010. Principles and Practice of Infectious Diseases. 17th Ed. pp 1495-1505. United States.Churchill Livingstone Elsevier.
Semakan akhir:13 Januari 2014
Penulis:Stella a/p Ganapathy Pillay
Akreditor:Rusmah bt. Yusof

0 comments:

Post a Comment

Copyright © 2015 Sihat dengan vitamin semulajadi